Nisa 24 August 2010

Selamat Datang Ramadan!

Pada saat Ramadan tiba, perkara pertama yang saya kenang adalah kata-kata arwah nenek saya. Katanya, “Pada bulan Ramadan, suasananya berbeza. Cahaya matahari, litup awan dan hembus anginnya berbeza.”

Waktu itu, saya mencari makna kata-kata nenek saya melalui harfiah, dan saya tidak mengerti mengapa suasananya perlu berbeza. Saya sering memandang ke langit mencari apa yang berbeza, namun mataharinya tetap sama. Cuma saya merasai hembus angin, sejuknya tetap juga sama. Saya beranggapan, hanya orang tua-tua seperti nenek saya yang akan mengerti apa bezanya.

Itu cerita dahulu, dan sekarang, saya tidak perlu menjadi orang tua-tua bagi mula mengerti apa maksud arwah nenek saya. Kini saya betul-betul merasai yang Ramadan itu sememangnya bulan yang berbeza. Pada saat bangun pagi saya, saya rasakan mataharinya dengan rasa bahagia. Pada waktu melihat awannya, saya rasakan awannya lebih elok susunnya. Semuanya berkenaan Ramadan, adalah hari yang indah.

Saya tidak tahu mengapa saya berasa begitu. Sama ada itu cuma perasaan saya ataupun ia betul-betul terjadi, saya tidak tahu. Namun itu yang saya rasa pada saat datangnya Ramadan, satu semangat baru untuk saya.

Namun, ada juga perkara berkenaan Ramadan yang saya tahu sebabnya dan jelas perasaannya. Ramadan berbeza, kerana adanya orang yang saya sayang, yang saya kasihi sudah tidak menyambut Ramadan bersama saya. Malah bertambah berbeza, kerana ada orang baru yang menyambut bahagianya Ramadan bersama saya.

Itulah Ramadan, ia datang dan pergi, sama seperti kita. Semoga datangnya Ramadan kali ini, saya masih sempat merasai perbezaan-perbezaannya. Semoga.... Selamat datang Ramadan.


Komen

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: