Nisa
19 August 2010
Kenangan Ramadan Si Gadis Kenit...
Ramadan kembali lagi. Kita sangat bertuah kerana diberi peluang bertemu dengan tamu agung ini. Ketibaan Ramadan merupakan sebuah kesempatan yang istimewa kerana belaian kasih ar-Rahman akan sentiasa menghampiri kita. Begitulah yang dirasakan oleh si Gadis Kenit setiap kali Ramadan tiba. Bulan yang sangat dinantikan olehnya. Dahulu, kini dan selamanya....
Ketika di sekolah rendah, dia sangat suka bulan Ramadan kerana dia berpeluang melakukan aktiviti yang disukainya iaitu menghantar kuih-muih dan juadah berbuka puasa ke rumah jiran-jiran terdekat. Ibunya akan memasak pelbagai jenis lauk-pauk dan kuih-muih yang lazat sebagai juadah berbuka puasa.
Setiap petang, selepas selesai kelas Pengajian Tajwid dan Fardu Ain, dia akan bergegas pulang ke rumah dan akan segera meninjau ke dapur bagi melihat apakah menu masakan ibunya pada petang itu. Kemudian, dia segera menawarkan diri bagi membantu ibunya memasak apa sahaja kuih-muih yang diilhamkan. Kuih yang paling dia suka adalah tepung bungkus dan gula melaka.
Mengapa si Gadis Kenit sangat suka menghantar juadah berbuka puasa ke rumah jiran-jirannya? Bukan kerana dia akan mendapat balasan juadah yang tidak kurang juga menariknya, tetapi kerana ketika dalam perjalanan, dia berkesempatan berangan menjadi gadis penghantar barang seperti Kiki di dalam cerita Koleksi Ghibli, Kiki’s Delivery Service. Cuma yang bezanya, Kiki menaiki penyapu ajaib yang boleh terbang ketika menghantar barang, tetapi si Gadis Kenit sekadar menunggang basikal. Dia cukup bahagia melaksanakan tugas menghantar segala juadah berbuka puasa itu ke rumah jiran-jirannya kerana dia membayangkan dirinya seorang gadis yang baik hati dan comel seperti Kiki.
Ketika usianya menginjak remaja, dia dihantar bersekolah di sekolah asrama. Dia tidak lagi berkesempatan melakukan rutin menghantar juadah ke rumah jiran-jirannya, sementelah tradisi itu makin dilupakan. Namun, dia tetap menjadi insan yang paling gembira menyambut ketibaan Ramadan. Tetapi kini kegembiraannya mula berubah corak. Dia gembira berbuka puasa beramai-ramai bersama teman-teman di asrama walaupun juadahnya tidaklah seistimewa di rumah. Dia juga masih berkesempatan berangan menjadi orang yang mendapat lailatulqadar.
Si gadis Kenit masih ingat kata-kata ustazahnya di sekolah, “Lailatulqadar adalah satu anugerah. Ia bukannya sesuatu yang diperoleh secara kebetulan. Lailatulqadar perlu dicari, bukan dinanti.”
Jadi, setiap malam selepas bertarawih di surau asrama, dia akan berangan mendapat lailatulqadar dalam pelbagai versi mengikut cerita-cerita yang pernah didengarinya. Tetapi, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui sama ada si Gadis Kenit pernah melalui malam itu ataupun tidak. Sebelum tidur, dia tidak lupa berdoa dan berharap supaya dia dapat bangun pada sepertiga malam bagi melaksanakan ibadah sebanyak mungkin bagi menjadi insan yang dianugerahkan rezeki malam lailatulqadar.
Hari berlalu dengan pantas. Bulan dan matahari silih berganti melaksanakan tugas menyinari bumi. Kini, si Gadis Kenit makin menginjak dewasa. Ramadan lebih dinanti kerana ia seolah-olah membuka peluang bagi dirinya menilai kemajuan iman dalam diri. Bagaimana puasa dapat membentuk nilai dalam dirinya sebagai insan yang berkualiti bagi segala aspek kehidupan? Bagaimana Ramadan mampu mempengaruhi graf keimanan dan ketakwaannya? Bagaimana Ramadan mampu mendidik dirinya supaya menjadi seorang insan yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam yang jitu dan dunia tidak rugi memilikinya sebagai penghuni? Bagaimana Ramadan mampu meninggikan tahap kesabarannya kerana sesungguhnya Ramadan adalah bulan kesabaran.
Akhir kalam, selamat meneruskan ibadah di bulan yang barakah ini dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan.
Majidah Mat Jusoh