Nisa
19 August 2010 
Semangat Ramadan
(Peringatan buat diriku yang alpa)
"Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkatan. Allah mengunjungimu di bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat kamu berlumba-lumba di bulan ini dan membanggakan kamu kepada para malaikatNya. Maka tunjukkanlah kepada Allah perkara yang baik-baik daripada kamu kerana orang yang sengsara adalah orang yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini." (Hadis riwayat at-Thabrani)
Ramadan menjadi kerinduan setiap orang yang beriman. Kedatangan bulan yang membuat hati-hati menjadi sebak dan terharu penuh rindu dan linangan air mata. Sebabnya tidak lain, melainkan kerana menyedari diri yang berdosa. Namun di sebalik sebak dan haru serta linangan air mata, terpancar satu peluang dan harapan kerana di bulan mulia penuh barakah ini, Allah menjanjikan sesuatu. Ya. Janji Allah bagi menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa-doa yang dipohonkan kepadaNya. Mudah-mudahan Allah masih memberikan rasa nikmat ke dalam hati-hati kita sebagai anugerah terindah kerana berpeluang berada kembali di bulan Ramadan pada tahun ini.
Bersama kita hadirkan semangat Ramadan dengan berjemaah di masjid, qiamullail, solat terawih, tilawah al-Quran, bersedekah dan ibadah-ibadah lain. Ibadah-ibadah tersebut semakin kita perhebatkan menjelang sepuluh malam terakhir, terus memanjatkan doa dan memohon ampun kepada Allah ke atas segala dosa yang kita lakukan.
Seterusnya semangat Ramadan sama-sama kita kekalkan walaupun bulan Ramadan berlalu pergi. Bermula dengan menjengahnya bulan Syawal, kita meneruskannya dengan puasa-puasa sunat, tilawah al-Quran, menghiasi malam dengan qiamullail dan terus menggengam kuat segala ibadah lainnya dengan penuh tanggongjawab. Semoga iman kita terus terpelihara hingga kita diberi peluang sekali lagi menikmati limpahan rahmat dan barakah di bulan Ramadan tahun hadapan, Insya-Allah.