Nisa 13 August 2010

Rindu Uji dan Intan di Bulan Ramadan

Saya dan keluarga Haji Nokman hidup berjiran. Pendek kata sekiranya mahu ke rumah mereka, dua minit berjalan kaki pun sudah sampai. Haji Nokman dan isterinya mempunyai lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan. Dua anak perempuan mereka adalah kawan-kawan saya kerana umur kami yang sebaya. Intan, seusia saya manakala kakaknya Uji tua lebih setahun.

Kenangan raya puasa saya banyak berkisar bersama Intan dan Uji. Kami sama-sama bersembahyang terawih di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, masjid yang bagi saya paling tercantik di Malaysia. Tentu ramai yang pernah melihat gambar masjid ini walaupun tidak melawat sendiri ke situ. Untuk makluman semua, rumah saya berada di sebelah kanan masjid itu sahaja.

Zaman kanak-kanak saya, Intan, Uji dan seorang lagi kawan saya Faridah sering berkisar di masjid itu kerana kami suka bermain-main di situ dan kadangkala dimarahi petugas masjid kerana sering berbuat bising. Biasalah, kanak-kanak.

Apabila mendapat kebenaran daripada ibu bapa bagi bersolat terawih, saya bukan main seronok lagi. Yalah, bukan hanya dapat bersolat, malah dapat berjumpa kawan-kawan dan selepas itu ada moreh pula. Bukanlah mahu makan sangat tetapi kami sukakan suasananya. Mungkin ketika itu umur dalam tiga belas ataupun empat belas tahun. Perjalanan pulang pula kami akan menikmati kesejukan malam, jalan perlahan-lahan dan ada masanya cuba mentafsir bintang. Kumpulan bintang itu berbentuk tongkatlah, bungalah, bolalah dan bermacam-macam lagi. Oh, imiginasi kami memang tinggi sekali.

Cuma, saya ada masalah penakut. Untuk ke rumah Intan, saya perlu menempuh jalan yang gelap gelita dan agak berhutan. Siang hari memang saya berani tetapi malam lain pula ceritanya. Namun, Intan dan Uji akan dengan setianya datang mengambil saya. Pernah saya dengar emak dan kakak saya bersembang, “Rajin sungguh si Intan dan Uji menjemput Kusyi. Jawab emak saya, “Masakan tidak, si Kusyi itu penakut nombor satu!”

Saya sebenarnya bukan penakut tetapi kerana sering ditakut-takutkan oleh kawan-kawan yang nakal, saya jadi mudah ngeri berjalan seorang.

Balik dari solat terawih, Intan dan Uji akan menghantar saya balik dahulu sebelum balik ke rumah mereka walau rumah mereka lebih dekat dengan masjid. Baik sungguh mereka.

Apabila salah seorang daripada dua beradik itu keuzuran dan tidak dapat ke masjid, perkara sama tetap berulang iaitu menghantar saya pulang dahulu sebelum dia berjalan pulang seorang diri dalam kegelapan malam ke rumah sendiri.

Baru-baru ini selepas berjumpa kembali Intan pada acara ziarah sempena hari raya, cerita itu dibangkitkan kembali dan kami bergelak ketawa. Intan berterus terang bahawa sebenarnya dia sendiri amat takut untuk pulang ke rumah seorang diri pada malam yang gelap begitu tetapi dia terpaksa memberanikan diri kerana kasihankan saya.

Sungguh, saya tidak menyangka Intan takut kerana bagi saya dia dan Ujilah manusia paling berani di dunia kerana tidak takut berjalan seorang diri sebegitu.

Begitulah, betapa murninya persahabatan waktu remaja dan kawan yang baik akan berkorban demi sahabatnya. Intan kini tinggal di Ulu Klang dan kakaknya Uji di Taiping, Perak. Masing-masing sudah berkahwin dan beranak-pinak, hidup mereka sangat bahagia.

Setiap kali tiba Ramadan, saya pasti teringat kenangan ini dan mendoakan kawan-kawan saya ketika kecil dan remaja seperti Intan, Uji, Faridah, Aszurina, Aminatun, Niaziyatun, Eja dan lain-lain diberkati Allah hendaknya.

Salam Ramadan untuk semua.

 

Kusyi Hirdan

kusyihirdan@gmail.com

www.jendelaku.com


Komen

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: